Search This Blog

Friday, June 25, 2010

Pembantu rumah bunuh majikan ditahan selama perkenan Sultan


25/06/2010 3:48pm

KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang membunuh majikannya hampir dua tahun lepas, ditahan selama perkenan Sultan Pahang.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman ke atas remaja perempuan itu mengikut Seksyen 97 (2)(b), Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 15 tahun ketika melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut Seksyen 97, seorang kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi mendapat perkenan sultan.
Akhtar kemudian mengarahkan remaja dari Pontianak, Kalimantan, Indonesia itu dipenjara di Kajang, namun secara berasingan dengan pesalah dewasa.
Remaja terbabit sebelum ini mengaku bersalah atas dakwaan melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Miati Bakri, 69, antara pukul 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang di No 3, Lorong Sungai Karang Maju 7 di sini pada 11 November 2008.
Pada prosiding hari ini, peguam remaja tersebut, Raftfizi Zainal Abidin turut mengemukakan laporan psikologi daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang dibuat pada April lalu untuk rekod mahkamah menunjukkan tahap kecergasan otak remaja terbabit adalah lebih rendah berbanding remaja normal.
Raftfizi berkata, beliau akan meminta sokongan Kedutaan Indonesia dalam membantu mempercepatkan tempoh hukuman remaja itu.
Katanya, laporan perilaku remaja terbabit ketika di Sekolah Tunas Bakti, Marang, Terengganu akan diberi kepada pihak kedutaan untuk dinilai sebelum surat memohon keampunan diserahkan kepada Sultan Pahang. - Bernama

No comments:

Post a Comment